Home
Aqidah dan Sirah
Sejarah Ummat Islam Indonesia
Al-Jihad Al-Islami
Akhlaq Mujahid
Semasa
e-mail
Links
guestbook
Lain-lain

 


AL-JIHAD AL-ISLAMI
Perjuangan Menegakkan Hukum Islam di Bumi Allah


     
Al-Jihad Al-Islami
siri 1

    Suatu hal yang tidak disangka-sangka  pada zaman moden ini perkataan jihad menjadi popular kembali dikalangan Ummat Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia. Perkataan jihad sekarang tidak lagi asing di telinga kita bahkan ianya sering disebut-sebut dalam akhbar tempatan, banyak digunakan oleh hampir semua golongan Ummat Islam, lebih-lebih lagi dalam suasana pilihanraya yang semakin dekat ini. Tidak dinafikan hal ini merupakan perkembangan yang baik jika digunakan pada tempat yang betul, tetapi ia juga dapat merugikan Islam dan perjuangan Islam apabila disalahgunakan. 

     Bermula dari pergerakan-pergerakan politik hinggalah kepada kelompok-kelompok yang berprioritikan  da’wah dan ibadah, masing-masing menggunakan kalimah jihad sebagai alat pembakar  semangat dan pembangkit simpati masyarakat Islam. Orang-orang Sufi telah lama menanamkan konsep jihad melawan hawa nafsu dan berpendapat ianya lebih ‘afdol’’ daripada jihad bersenjata. Diikuti oleh jamaah Tabligh yang mengatakan bahwa keluar berdakwah selama empat puluh hari merupakan jihad di jalan Allah, Ahli-ahli politik pula menyeru pengikutnya untuk berjihad melalui pilihanraya, hingga kerajaan pun sekarang ini mengumandangkan seruan untuk membasmi kemiskinan dengan kata-kata jihad. Masalahnya yang timbul sekarang, apakah jihad memang menjadi sedemikian umum hingga dengan mudah digunakan pada setiap perkara yang kita usahakan, ataukah mereka hanya memahami jihad dari segi bahasa sahaja, seperti yang mereka lakukan pada kalimah Islam yang berarti berserah diri, lalu mereka katakan siapa sahaja boleh dianggap muslim bila ia berserah diri dan mereka maksudkan tidak ada perbedaan agama, mereka semua menyembah tuhan yang satu. Bukankah ini pemikiran yang direka-reka musuh-musuh Islam untuk mengelirukan ummat, dan mereka telah berjaya dengan banyaknya penganut pemikiran ‘transcendent unity’, (semua agama sama pada dasarnya).

     Jihad sememangnya mempunyai tempat yang Istimewa dalam Islam begitu juga dalam hati ummat Islam, setiap individu muslim selemah manapun pengetahuannya tentang Islam, akan faham betapa tingginya derajat orang yang berjihad dan betapa besar ganjaran yang di terima di akhirat kelak, samaada sebagai seorang mujahid, murabith ataupun syahid. Hal ini disebabkan al-Quran telah banyak menekankan tentang jihad, dan Rasulullah SAW. sendiri mempraktikkan Jihad selama beliau berada di Madinah. Oleh kerana inilah Rasulullah menyimpulkan dalam sebuah hadist yang bermaksud: “Jihad adalah puncak (ibadah) dalam Islam”. Kedudukan jihad yang tinggi ini sepatutnya mengilhamkan kita bahwa kita harus mempertahankan konsep ini hidup dalam hati dan pemikiran kita, kerana kita yakin Islam tidak datang dengan sesuatu yang lapuk atau tak ‘relevant’ di akhir zaman. 

    Malangnya, setelah Ummat Islam sejak di zaman kekhilafahan disibukkan oleh kehidupan duniawi dan timbulnya banyak perpecahan di kalangan Ummat, konsep jihad kemudiannya perlahan-lahan pudar lalu muncul kembali dalam konsep yang berbeda. Ianya bukan lagi sebuah institusi yang berdiri sendiri,yang ditanamkan oleh Rasulullah pada jiwa sahabat-sahabatnya, merekalah orang yang betul-betul memahami Islam dengan segala konsep-konsepnya, maka kegemilangan Islam adalah hasil usaha mereka untuk merealisasikan kerajaan Allah di muka bumi ini. Merekalah yang kemudian meneruskan da’wah dan jihad demi menegakkan kalimah Allah di seluruh pelosok dunia. Jihad yang ada dalam benak pemikiran kita bukan lagi suatu bentuk pemikiran dan pergerakan yang dapat menjadikan Ummat Islam pada suatu ketika dahulu gagah perkasa dan disegani oleh kerajaan-kerajaan Parsi dan Rome, hinggakan teriakan seorang perempuan muslimah di Eropah dapat mendatangkan pasukan tentera dari Iraq untuk melindungi kehormatannya.

    Tidak dapat dinafikan adanya konspirasi Barat dan kuncu-kuncunya terhadap penyimpangan konsep jihad dari landasan yang benar. Dan mereka pastinya tersenyum melihat keberhasilan ini.  Konspirasi tersebut bertujuan mengelirukan ummat Islam dan memesongkan mereka dari pemahaman Islam yang syumul. Bahkan konspirasi tersebut mempunyai matlamat yang lebih dahsyat lagi yaitu menjauhkan ajaran-ajaran Islam dari ummatnya dan dengan itu mereka melupakan Al-Quran. Sebagai contoh pergerakan Qadiani di India pada awal munculnya telah mengharamkan jihad dan mewajibkan tunduk kepada kerajaan British yang sedang menjajah ketika itu, setelah lama kemudian barulah terbongkar rahasia  bahwa pergerakan tersebut sebenarnya hasil ciptaan kerajaan British sendiri dan secara langsung mendapat sokongan penuh darinya. Tujuannya tidak lain adalah untuk memesongkan Aqidah ummat Islam dan memperkuat jajahannya terhadap India.

    Apabila hal ini tidak diambil berat oleh para Ulama dan cendikiawan kita, untuk selanjutnya memperbetulkan fahaman-fahaman yang mengelirukan,  maka perkara ini akan meluas sehingga pada masa tertentu ianya tak dapat diperbetulkan. Maka yang benar akan menjadi salah dan yang salah menjadi benar, hal inilah yang telah ditekankan dalam sebuah hadith kerana ianya banyak merisaukan Rasulullah yang mana telah diberikan oleh Allah SWT mu’jizat untuk mengetahui apa yang akan berlaku di akhir zaman. Maka kewajiban kita pada akhir zaman ini ialah mencari kebenaran dan menjadi pembela kebenaran apabila ianya telah terserlah. 

     Oleh itu menjadi suatu yang amat penting agar kita mengembalikan sesuatu konsep yang ada dalam Islam kepada sumbernya bagaimana ia didefinisikan, kerana perkara ini bukanlah hasil otak manusia tapi ia mempunyai sifat ‘devine’ yang berlandaskan wahyu. Kita juga tidak boleh  hanya mengambil kira faktor sejarah dan faktor luaran sahaja, lalu dengan senang membuat tanggapan atau analogi sendiri, tetapi kita mesti mengkaji konsep asal dan juga mendalami pemikiran yang terkandung di dalamnya. Kerana pemikiran yang benar dan mendalam seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah akan menjadi petunjuk bagi kita untuk keluar dari kemelut yang menimpa Ummat Islam pada akhir zaman ini.


Ke atas

Sebarang komentar atau pertanyaan sila hantarkan kepada [email protected]
Sila isi butiran anda di guestbook.